EXO WOLF POWER
Saturday, 18 April 2015
Sunday, 1 February 2015
TIE (Trust In Eyes)
Bomi berjalan-jalan
pada waktu malam bersama haiwan peliharaannya iaitu Cute. Cute adalah kucingnya
yang ketiga. Kucingnya yang sebelum ini dah hilang entah ke mana. Ini
disebabkan keluarga Bomi yang kerap kali berpindah-randah akibat bapanya yang
suka berjudi dan berhutang dengan orang, tidak mampu nak bayar segala hutang
bapanya kerana keluarga Bomi yang tidak berkemampuan. Tapi Bomi seorang gadis
yang kental dengan dugaan. Bomi tetap akan tersenyum di hadapan bapanya untuk
melegakan hatinya yang sedih.
Bomi mendapat
tawaran kerja dari jirannya. Kebetulan pula jiran Bomi mempunyai sebuah
restoran dan memerlukan pekerja seperti Bomi sebab Bomi mempunyai bakat dalam
nyanyian dan juga menari. Selain itu, Bomi juga pandai berlawak. Sifat lucunya
telah menjadikan restoran jirannya yang dahulunya kecil, kini telah menjadi
besar dan mempunyai cawangan yang lain. Kini, Bomi sudah menjadi sebahagian
dari keluarga jirannya itu selepas bapanya menghilang ketika dikejar oleh
penjudi kerana bapanya kalah dan tidak mahu membayarnya.
Bomi berkawan rapat
dengan anak jirannya itu, namanya ialah Hyuna. Bomi dan Hyuna mempunyai sifat
yang sama iaitu sifat lucu mereka, sebab itulah mereka menjadi kawan karib
sekarang. Ibu bapa Hyuna melayan Bomi sama seperti mereka melayan Hyuna, penuh
dengan kasih sayang. Bomi berasa sangat bertuah dapat berkenalan dengan
keluarga Hyuna dan menjadi anak angkat mereka. Walaupun Hyuna tua setahun
dengan Bomi, tapi mereka sudah seperti adik-beradik kembar. Ke mana sahaja
mereka pergi, mesti bersama. Tidak dapat dipisahkan.
Bomi dan Hyuna
menjadi semakin renggang sejak Hyuna mula berkenalan dengan seseorang. Hyuna
sering menolak ajakan Bomi kerana ingin berjumpa dengan kekasihnya. Bomi yang
periang, tidak pernah berasa kecil hati dengan Hyuna. Bomi sentiasa berfikiran
terbuka. Apabila semakin kerap ditolak ajakannya, Bomi juga mula mencari
seseorang untuk berkenalan. Tapi Bomi sering dipermainkan, ditipu dan dilukai
oleh mana-mana lelaki yang Bomi pernah jumpa. Akhirnya, Bomi mengambil
keputusan untuk tidak mempercayai mana-mana lelaki lagi.
Bomi berasa gembira
bagi pihak Hyuna kerana hubungan cintanya bersama kekasihnya kekal sehingga
mereka berkahwin. Tapi yang membuatkan Bomi sedih adalah kawan karibnya sudah
tidak tinggal bersama-samanya lagi. Hyuna mengikuti suaminya berpindah dan
tinggallah Bomi dengan keluarga Hyuna. Bomi berasa tidak selesa jika Hyuna
tiada, Bomi membuat keputusan untuk meninggalkan keluarga angkatnya. Bomi
mencari tempat tinggalnya agak jauh dari keluarga angkatnya dan juga Hyuna.
Bomi yang dahulunya
adalah seorang gadis yang periang dan lucu, kini telah menjadi seorang gadis
yang pendiam dan muram. Tambahan pula, Bomi berjiran dengan keluarga bengis dan
sombong. Bomi mencari kerja, tapi tidak dapat-dapat juga. Bomi tetap tidak
putus asa untuk mencari pekerjaan sehingga langit menjadi gelap. Poket sudah
semakin nipis, begitu juga dengan perutnya. Bomi pergi ke warung tepi jalan
untuk mengisi perutnya yang berlapar dari siang hingga ke malam ini.
Bomi selesai
mengisi perutnya dengan makanan yang agak mahal, duit poketnya pula tidak
cukup. Bomi mula berasa gelisah apabila disuruh bayar oleh tauke warung itu.
Bomi mengorek beg galasnya, tapi dia tidak jumpa duit. Bomi hanya ada duit di
poket seluarnya sahaja. Bomi berterus-terang dengan tauke warung itu bahawa dia
tiada duit yang mencukupi, Bomi disembur dengan air liur mak cik itu dan semua
pelanggan memandang ke arah Bomi kerana suara lantang mak cik itu sedang
memarahinya.
Bomi tidak dimarahi
lagi setelah seorang pemuda menawarkan diri untuk membayar bagi pihak Bomi.
Pemuda itu memandang wajah Bomi yang tercengang itu lalu beredar dari situ.
Bomi tersedar dari tercengangnya, Bomi belum ucap terima kasih pada pemuda itu.
Bomi ingin memanggilnya tapi tidak tahu namanya, Bomi berlari ke arah pemuda
itu. Tapi pemuda itu sudah memecut pergi bersama motorsikalnya. Bomi mengeluh
kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih. Bomi hanya melihat pemuda itu
pergi dengan motorsikalnya sahaja.
Bomi berjalan ke
rumahnya, perlahan-lahan dia melangkah sambil terbayangkan kejadian mengejut
tadi. Bomi teringat akan pemuda yang menolongnya di warung itu tadi. Pemuda itu
ada sesuatu yang membuatkan Bomi ingin menerokai kehidupan pemuda itu. Sehingga
pulang ke rumah, Bomi masih teringatkan pemuda itu. Bomi tidak dapat tidur
dengan nyenyak kerana banyak soalan diminda yang masih tidak dapat dijawab.
‘Mungkin ke aku dah jatuh cinta hanya memandang mata dia?’. Bomi menggeleng
kepalanya beberapa kali, tidak percaya dengan perasaannya sendiri.
Bomi terbangun
apabila mendengar bunyi ketukan yang kuat di hadapan pintu rumahnya. Bomi
segera membuka pintu dengan matanya separuh buka separuh tutup itu. Tuan rumah
datang. Segar terus mata Bomi melihat tuan rumahnya datang meminta sewa rumah.
Tapi Bomi masih tiada pekerjaan dan duit poketnya telah habis digunakan
semalam. Bomi hanya mampu mendiamkan diri melihat barang-barangnya dicampak ke
luar rumah. ‘Kenapa kejam sangat dengan aku?’. Bomi keluar dari rumah tanpa
arah tujuan.
Bomi berjalan ke
suatu lorong yang sunyi, berehat di situ sebentar. Bomi mencapai botol airnya
dalam beg galas lalu meneguknya sehingga habis. Setelah selesai meneguk air
dalam botol sehingga habis, Bomi menghembus nafas lega. Begitu penat dia, Bomi
ingin pulang ke rumah keluarga angkatnya tapi jauh dari situ. Bomi memandang
sekelilingnya, dia tidak tahu hendak ke mana lagi. Bomi berjalan lagi, mencari
kerja kosong di rumah kedai. Tapi hampa, dia tidak diterima kerana tiada tempat
tinggal yang tetap.
Bomi berhenti di
suatu tempat, duduk di bawah pokok lalu menangis di situ. Tiba-tiba sahaja ada
orang menegurnya, Bomi memandang dua orang lelaki yang menegurnya itu sedang
mabuk. Bomi takut melihat pandangan mata dua orang lelaki mabuk itu. Bomi terus
berjalan dengan pantas, meninggalkan dua orang mabuk itu. Bomi berlari apabila
dua orang mabuk itu mengekorinya tanpa memandang sekelilingnya kerana
ketakutan. Bomi melintas jalan tanpa memandang kanan dan kiri, Bomi hampir
dilanggar tapi sempat mengelak lalu terjatuh di atas jalan raya itu.
Bomi masih terduduk
di situ, kereta di hadapannya semakin hampir dengan dia. Bomi hampir sahaja
dilanggar dengan kereta, nasib baik ada orang yang menariknya ke tepi. Bomi
terus menangis apabila ditanya keadaannya oleh orang itu. Bomi memandang wajah
orang itu dan Bomi berasa terkejut setelah memandangnya. ‘Dia pemuda kat warung
tu, kan?’. Bomi tercengang sekali lagi apabila melihat pemuda yang sama ketika
di warung dulu. Jantungnya berdegup laju apabila pemuda itu bersuara.
“Awak tak apa-apa
ke?”, sudah dua kali pemuda itu bertanya pada Bomi dengan pertanyaan yang sama.
Tapi Bomi masih lagi tercengang, menghayati perasaan anehnya. Pemuda itu berasa
geram dan mahu meninggalkan Bomi di situ seorang diri. Bomi tersedar lalu
bersuara pada pemuda itu. “Terima...kasih...”, tergagap-gagap Bomi bersuara.
Pemuda itu memandang Bomi dengan perasaan menyampah. “Ingatkan orang pekak bisu
tadi, boleh pulak bersuara.” Pemuda itu terus beredar setelah menyakitkan hati
Bomi.
Tiba-tiba sahaja
dua orang mabuk tadi menerkam Bomi dari belakang. Bomi menjerit, meminta
tolong. Pemuda itu berpatah balik ke arah Bomi, dia terus belasah dua orang
lelaki itu. Pemuda itu berjaya membuat mereka larikan diri. Bomi ucap terima
kasih lagi, tapi pemuda itu tidak mempedulikan Bomi dan pergi dari pandangan
sayu Bomi. Dia mengeluh. Bomi berjalan lagi dengan perasaan takut. Tapi tidak
sampai seminit, pemuda itu berpatah balik ke arah Bomi dan menyuruh Bomi naik
motorsikalnya.
Sambil menunggang
motorsikalnya, pemuda itu bertanya pada Bomi. “Rumah kat mana? Biar saya hantar
awak.” Bomi serba salah ingin menjawab pertanyaan itu. “Erm...saya tak ada
rumah...” Pemuda itu terus menghentikan perjalanannya. Masing-masing terus
turun dari motorsikalnya. “Huh! Tak ada rumah?! Kau biar betul?!” Bomi hanya
mampu menganggukkan kepalanya. Pemuda itu mengeluh melihat keadaan Bomi yang
menyedihkan itu. Pemuda itu merenung Bomi kerana terlalu geram. Bomi hanya
menunduk kepala, tidak berani memandang mata pemuda itu.
Akhirnya Bomi
dibawa ke rumah pemuda itu. Bomi ingin bertanya tapi ragu-ragu, sebelum
bertanya lagi pemuda itu sudah berkata bahawa rumah ini rumahnya. Bomi hanya
mendiamkan diri dan mengikuti pemuda itu. “Awak boleh guna bilik saya sebab
saya jarang tidur kat bilik tu. Saya lebih selesa tidur kat sofa.” Pemuda itu
ingin keluar tapi Bomi pula bersuara. “Awak nak pergi mana?”. Pemuda itu
mengeluh sebelum menjawab. “Nak pergi cari makananlah. Awak nak biarkan perut
awak asyik berbunyi sampai esok pagi ke?”. Pemuda itu terus keluar.
Bomi selesai mandi,
Bomi memakai bajunya yang sama kerana beg bajunya sudah hilang ketika dikejar
dengan pemabuk-pemabuk tadi. Bomi ke dapur, melihat barang pemuda itu berhabuk.
‘Nampak sangat dia selalu makan kat luar.’ Bomi membersihkan barang-barang
dapur di situ. Dalam pada itu, pemuda itu pulang dengan mengejut. Bomi yang
tengah menyusun pinggan mangkuk, terkejut lalu pinggan yang dipegangnya terhempas
ke lantai. Bergegas pemuda itu ke dapur selepas terdengar bunyi barang kaca
pecah.
“Maaf...saya tak
sengaja pecahkan pinggan awak...” pemuda itu mengeluh mendengar suara sayu
Bomi. “Ada ke orang sengaja pecahkan sesuatu kalau tak sengaja?”. Pemuda itu
mengeluh lagi. “Tak apa...saya boleh kemaskan...” Bomi bersuara apabila melihat
pemuda itu mula mengemas pinggan yang sudah pecah itu. “Tak apalah...awak pergi
makan sana. Biar saya yang kemas.” Pemuda itu mula mengutip serpihan kaca itu.
Bomi pula terus ke arah penyapu, tapi terhenti diseparuh jalan kerana dia
terpijak serpihan kaca.
Pemuda itu mengeluh
lagi melihat Bomi yang selalu cuai itu. “Tengok! Saya dah kata tadi tak payah!
Duduk diam dan makan! Degil! Itulah akibatnya kalau buat kerja melulu aje! Tak
pernah nak berhati-hati!”. Bomi hanya mendiamkan diri ketika dimarahi oleh
pemuda itu. Selepas pemuda itu memarahinya, Bomi melihat pemuda itu sedang
membalut luka di kakinya. ‘Serius betul muka dia, takut aku nak tengok.’ Pemuda
itu terus ke dapur untuk menyambung kerjanya tadi, membersihkan serpihan kaca
itu dengan berhati-hati. Bomi hanya menjadi pemerhati.
Ketika makan malam
di ruang tamu sambil menonton televisyen, Bomi asyik merenung pemuda itu.
‘Tengah makan pun muka nampak menakutkan.’ Pemuda itu menyedari Bomi asyik
merenungnya. “Tahulah saya ni handsome, tapi makanlah dulu. Dah sejuk makanan
depan awak tu.” Bomi terus menundukkan kepalanya. Bomi makan sehingga licin,
kebuluran seharian berjalan. Pemuda itu terkejut melihat Bomi dapat
menghabiskan makanannya dengan sekelip mata sahaja. Bomi meneguk air dalam
gelas itu juga sekali teguk sahaja. Pemuda itu menggeleng melihatnya.
Di hadapan rumah,
Bomi termenung melihat bulan. ‘Cantik bulan tu.’ Bomi mengeluh apabila
teringatkan kehidupan dia dari dulu hingga kini tidak pernah berubah, cuma
sekarang bapanya yang menghilang dan dia kena berhadapan dengan pemuda yang
bengis dan garang. Tapi pemuda itu ada juga sisi baiknya. Pemuda itu agak
prihatin dengan Bomi dan telah membenarkan Bomi tinggal di rumahnya juga tidur
di biliknya. Bomi tersenyum seorang diri apabila teringat ketika pemuda itu
membalut luka di kakinya.
“Ehem! Dah gila ke
senyum sorang-sorang!”. Pemuda itu menghampiri Bomi yang sudah malu apabila
ditegur sebegitu. Bomi melihat pemuda itu juga menghayati keindahan bulan pada
malam itu. ‘Bila tengok dari sisinya, handsome juga dia ni.’ Bomi tersenyum
melihat wajah pemuda di sebelah kirinya itu. Tiba-tiba pemuda itu menoleh dan
melihat Bomi sedang tersenyum melihatnya. Hilang terus senyuman di bibir Bomi.
“Dah puas menghayati muka saya yang handsome ni?”. Bomi hanya menundukkan
kepalanya sambil mengeluh. ‘Perasanlah pulak...’
“Nama saya Tao.
Awak?”. Pemuda itu bersuara apabila keadaan menjadi sunyi dan kekok.
“Bomi...Yoon Bo Mi.” Pemuda itu atau Tao hanya mengangguk sahaja. Keadaan
kembali sunyi dan kekok. Kali ini, Bomi pula bertanya. “Awak lahir tahun bila?”.
Tao teragak-agak ingin menjawab, lupa tarikh lahirnya sendiri. “Erm...93? Yelah
kot.” Bomi tertawa kecil. “Apalah awak ni. Takkan birthday sendiri boleh lupa.
Hahaha!”. Tao berkerut dahi melihat Bomi, geram. “Betullah 93! Hish!”. Bomi
tersenyum mendengarnya. “Jadi...kita ni sebayalah! Saya pun lahir tahun 93!”.
Bomi senyum pada Tao.
Bomi menukar
pakaiannya dengan pakaian yang Tao kasih kepadanya. Bomi yang dari tadi
termenung di luar, masuk ke dalam semula kerana sudah mengantuk. Bomi melihat
Tao sedang tidur di atas sofa dengan TV menyala, Bomi menutup TV itu. Bomi
masuk ke dalam bilik Tao, selimut di atas katil bilik Tao itu dibawa keluar.
Bomi selimutkan pada Tao, Bomi tersenyum. ‘Bertuah aku dapat tinggal kat rumah
orang yang prihatin macam dia, walaupun muka dia agak menakutkan.’ Bomi masuk
ke dalam bilik Tao semula, dia terus baring. Bomi juga terlelap.
Seawal jam 4 pagi,
Tao sudah bangun. Rutin hariannya adalah berjoging seawal 4 pagi. Sebelum Tao
keluar dari rumahnya, pintu biliknya terbuka secara tiba-tiba. Tao melihat Bomi
keluar berjalan ke arah dapur dengan mata yang masih tertutup, Bomi membuka
pintu peti sejuk. Sebotol air mineral diteguknya sehingga habis dan menutup
semula pintu peti sejuk itu lalu Bomi menyambung tidurnya di hadapan peti sejuk.
Tao menggeleng kepala sesudah melihatnya. Tao pergi ke arah Bomi, mengangkatnya
masuk ke dalam biliknya. Tao menyelimutkan Bomi pula.
Pada jam 6 pagi,
Tao pulang semula ke rumahnya. Seluruh badannya berpeluh, Tao terus meneguk air
mineralnya. Tao membersihkan tubuhnya, selesai sahaja mandi Tao terus ke arah
biliknya. Tapi langkahnya terhenti seketika. ‘Bomi ada kat dalam, macam mana
aku nak masuk?’. Tao mengeluh, mengetuk pintu bilik. Tapi tiada reaksi,
akhirnya Tao masuk juga. ‘Isy...lena betul dia tidur lepas teguk sebotol air
mineral.’ Tao membuka almarinya perlahan-lahan, mengambil baju dan seluarnya.
Tao terus meluru ke arah pintu. Tao memakai pakaiannya di ruang tamu.
Ketika itu pula,
Bomi bangun dari tidurnya kerana terdengar bunyi. Bomi terus keluar dari bilik,
Bomi ternampak Tao yang belum selesai berbaju lalu Bomi menjerit sekuat
hatinya. Pantas Tao menoleh ke belakang, Tao menutup mulut Bomi. “Kau ni!
Bisinglah!”. Tao melepaskan tangannya apabila Bomi berhenti menjerit. “Kenapa
awak pakai baju kat ruang tamu? Kenapa tak pakai kat tandas? Macam mana kalau
tadi awak tak pakai seluar juga? Macam mana kalau saya nampak semuanya? Macam
mana?!”. Tao mengeluh. ‘Kuat membebel juga dia ni.’
Bomi melihat Tao
sedang membasuh motorsikalnya. “Awak tak pergi kerja ke?”. Tao menjawab sambil
membasuh. “Saya malaslah.” Bomi terkejut mendengarnya. “Malas? Lebih baik bagi
saya saja kerja tu.” Terhenti kerja yang dilakukan Tao. “Boleh.” Bomi terkejut
mendengarnya buat kali kedua. “Betul ke boleh?”. Bomi dah tersenyum
mendengarnya. Tao bangun dan berdiri di hadapan Bomi, merenungnya agak lama.
Bomi tak berani nak balas pandangan Tao. “Boleh...tapi ada syarat.”
Terkebil-kebil mata Bomi mendengarnya. ‘Ada syaratlah pulak.’
Selepas 10 minit,
Tao selesai mengatakan syarat-syaratnya. Bomi teragak-agak ingin menyatakan
kata setuju selepas mendengarnya. “Kalau tak nak, tak apa...saya tak paksa
pun.” Setelah lama mendiam, akhirnya Bomi bersuara juga. “Erm...tak! Saya tak
setuju!”. Bomi terus masuk ke dalam bilik, termenung. ‘Aku patut kata setuju
tadi. Aku dah tak ada sesiapa lagi yang prihatin macam dia. Bapak entah ke
mana. Macam mana dengan masa depan aku nanti?”. Bomi menarik nafasnya. ‘Aku
akan setuju!’
Bomi terus meluru
ke arah Tao. “Saya setuju! Saya...setuju untuk kahwin dengan awak.” Tao
terkejut mendengar keputusan Bomi itu, dia memandang Bomi dengan pandangan
yuang tajam. “Kenapa tiba-tiba kata setuju?”. Bomi terus menangis.
“Sebab...saya dah tak ada tempat nak bergantung lagi...sekarang saya sebatang
kara saja...bapak saya tak tahu kat mana...saya pun dah tak tahu nak ke mana.”
Tao mengeluh mendengar rintihan Bomi. Tao melangkah ke arah Bomi perlahan-lahan
lalu memeluk tubuh Bomi yang sedang menangis itu.
“Saya janji pada
awak. Saya akan berada di sisi awak tak kiralah senang ataupun susah.” Tangisan
Bomi terhenti, Bomi melepaskan pelukan Tao. Bomi merenung mata Tao, mencari
keikhlasan dan kejujuran kata-kata itu. Bomi berasa takut kerana kata-kata itu
akan menimbulkan kekecewaan seperti dahulu. ‘Kata-kata yang sama dilafazkan
oleh kaum lelaki. Kenapa susah untuk aku percayakan lelaki? Mula-mula, bapak
aku yang berkata seperti itu. Takkan tinggalkan aku walaupun kehidupan kami
susah, tapi sekarang bapak menghilang entah ke mana. Sama seperti lelaki-lelaki
yang pernah aku kenali.’
“Kenapa pandang
saya macam tu? Tak percaya? Saya akan buktikan kata-kata saya ni! Saya ni
seorang yang tak akan mungkir pada janjinya! Kalau tak percaya...suka
hatilah!”. Tao masuk ke dalam rumahnya, meninggalkan Bomi di luar seorang diri.
Bomi masih terdiam di situ. Tao melihat Bomi masih kaku di situ, walaupun sudah
setengah jam berlalu. Tao keluar, menghidupkan enjin motornya. Bomi terus
tersedar dari mengelamun. “Awak nak pergi mana?”. Bomi bertanya pada Tao. “Saya
nak cari makanan. Awak duduk rumah je.” Tao terus pergi bersama motornya.
‘Betul ke, apa yang
dia katakan tadi? Betul ke, dia akan ada di sisi aku?’. Bomi masih lagi
menungkan perkara yang sama. TV yang menyala dari tadi, hanya sekadar
menghilangkan kesunyian. ‘Tapi...betul ke Tao anak kepada syarikat besar tu?’.
Bomi melihat sekeliling rumah Tao itu. ‘Tengok rumahnya...macam orang bujang
seperti aku aje. Tak mewah. Aku...setuju untuk kahwin dengan dia...sebab dia
anak orang kaya...jahat sungguh aku ni!’. Bomi mengeluh lagi. Bomi meneguk
segelas air untuk melegakan hatinya.
Sudah dua jam
berlalu, Tao masih termenung di syarikat bapanya. Tao bukanlah orang Korea,
tapi bapanya membuat cawangan baru di Korea kerana Tao fasih bertutur dalam
bahasa Korea. Syarikat asalnya berada di China, bapanya yang menguruskan
syarikat itu. Syarikat di Korea ini pula, bapanya menyuruh Tao yang uruskan.
Tapi Tao tidak mahu dan telah mengupah orang untuk mengendalikannya. Tao termenung
sambil melihat foto keluarganya. Tao teringat akan kata-kata bapanya dahulu.
“Aku suruh kau
uruskan syarikat ni untuk majukan syarikat ni! Bukan untuk kau buat sesuka hati
aje! Syarikat ni bukan kau yang punya! Aku yang punya!”. Bapa Tao memarahinya.
“Bukan saya punya? Habis tu, kenapa bapak suruh saya uruskan syarikat ni kalau
bukan saya punya?!”. Tao meninggikan suaranya. “Perasan! Kalau kau nak syarikat
ni jadi milik kau, kau kena bawa seseorang yang boleh menjaga kau yang masih
mentah ni! Kahwin dengan dia! Baru syarikat ni akan jadi milik kau selamanya!”.
Terkedu Tao mendengarnya.
Tao tersedar dari
lamunannya apabila seseorang megetuk pintu pejabatnya. “Masuk ajelah! Aku
tahu...kau kan, Sehun?”. Kawan karibnya masuk ke pejabatnya sambil ketawa. Sehun
duduk di atas meja sambil membawa minuman untuk Tao. “Muka kau tu dah kena apa?
Sampai dahi pun berlipat seribu.” Sehun masih lagi ketawa melihat wajah Tao
yang berkerut itu. “Aku stress duduk kat rumah!”. Kali ini Sehun pula berkerut
dahi. “Pelik tu! Selalunya kau akan stress bila ada kat pejabat ni, sekarang
terbalik pulak.” Tao mengeluh.
“Entahlah...” Tao
mengeluh lagi. Tiba-tiba sahaja riak wajah Sehun berubah menjadi teruja. “Hey!
Kisah gadis idaman kau tu macam mana? Berjaya tak pikat dia? Haha...tengok muka
kau ni...aku dah boleh agak kau kena reject!”. Tao merenung Sehun dengan
pandangan tajamnya. “Okay! Sorry!”. Sehun terus mengangkat kedua belah
tangannya, menyerah diri. “Dia...ada kat rumah aku sekarang.” Sehun terkejut
mendengarnya. “What?! Gilalah kau! Kau dah buat apa aje dengan dia? Kau dah
tidur dengan dia ke?”
Tao: “Kau ni...nak kena sepak ke? Mulut tu
jaga sikit!”
Sehun: “Sorrylah...tapi macam mana dia boleh ada kat rumah kau? Baru dua
bulan lepas kau cakap yang kau dah jumpa gadis idaman kau, and sekarang dia ada
kat rumah kau pulak...”
Tao: “Susahlah
nak cerita dari awal...rumit!”
Sehun: “Erm...kau ni pun satu! Selalu berahsia! Dah pening baru cari
aku! Lain kali...dah ada news, terus bagitahu kat aku...okay?”
“Okaylah...aku nak
balik dulu...” Tao menyarung jaket hitamnya dan memakai helmet. Sebelum keluar
dari pejabat, Sehun bersuara. “Tao! Nanti malam...aku datang rumah kau!”. Tao
terkejut. “Buat apa?!”. Sehun ketawa melihat wajah Tao. “Aku nak kau cerita kat
aku dari awal sampai akhir kisah gadis idaman kau tu! Kalau tak...aku ada kunci
rumah kau tau...” Tao mengeluh, geram. “Okay, fine! Tapi...cerita kat luar
rumah. Sebab aku tak nak dia dengar yang aku dah lama suka dia and jejak dia.”
Sehun hanya mengangguk.
Tao pulang ke
rumahnya bersama makanan untuk Bomi. Tao memanggil-manggil Bomi, tapi tidak
disahut. ‘Ke mana pulak budak ni pergi?’ Tao pergi ke dapur, belakang rumah dan
biliknya. ‘Ke mana pulak hilangnya budak ni?’ Tao masuk semula ke biliknya,
mencari beg galas Bomi. ‘Tak ada?’ Tao bergegas ke luar rumah, memandang ke
kanan dan kiri di kawasan rumahnya. Tapi sunyi. Tao mengeluh, motornya
dihidupkan. Sebelum pergi, mak cik sebelah rumahnya kata bahawa Bomi baru
sahaja keluar.
Tao tidak jadi
membawa motornya, dia berjalan kaki mencari Bomi. Selepas 30 minit, Tao nampak
Bomi di bastop. “Bomi!”. Terkejut Bomi mendengar suara Tao. “Tao...awak?”. Tao
mengeluh. “Awak ni dah hilang akal ke? Huh!”. Bomi menundukkan kepalanya
apabila Tao menengkingnya. “Saya...” Belum sempat Bomi menghabiskan
kata-katanya, Tao terus menarik tangannya. Bomi mengikuti Tao kerana tangannya
ditarik oleh Tao dan Bomi berasa takut melihat wajah Tao. Tapi belum sampai ke
rumah, tiba-tiba sahaja Bomi menepis tangan Tao.
“Saya dah tak nak
ikut awak lagi! Awak baliklah sendiri!”. Mereka berdua bertentangan mata agak
lama. Apabila guruh di langit mula kedengaran, anak mata Tao perlahan-lahan
tunduk ke tanah. Tao mengalah. Tao terus beredar dari situ dan meninggalkan
Bomi seorang diri. Bomi terduduk, terkedu dengan kata-katanya sendiri. Bomi
menangis apabila langit turut menangis menemaninya. Bomi memukul-mukul tanah
yang semakin basah itu, melepaskan geram. Esakan tangisannya semakin kuat
seperti hujan yang semakin lebat.
Tao tidak duduk
diam di rumahnya, risau akan Bomi. Tambahan pula, sekarang tengah hujan lebat.
Tao berjalan ke hulu dan ke hilir rumahnya, kerisauannya semakin ketara.
Akhirnya, Tao keluar dalam hujan lebat itu. Tao pergi ke tempat tadi, Tao
mengeluh. Ternyata Bomi masih di situ, duduk sambil menangis. Tao terus menarik
tangan Bomi. Terkejut Bomi dengan kejadian mengejut itu. Bomi melihat insan di
hadapannya itu, sungguh prihatin. “Tao...saya minta maaf...” Bomi terus memeluk
Tao, menangis didakapnya.
Tiba sahaja di
rumah, Tao bergegas mengambil tualanya. Rambut panjang Bomi yang basah itu
dilapnya, Tao menyelimutkannya setelah Bomi selesai mandi. Bomi masih lagi
menangis walaupun sudah banyak kali dipujuk oleh Tao. Tiba-tiba telefon Tao
berdering, Sehun memanggilnya. Sehun berkata bahawa dia tidak dapat datang ke
rumah kerana ada hal kecemasan berlaku. Tao menghembus nafas leganya. ‘Baguslah
kalau tak dapat datang...keadaan pun tengah rumit ni.’ Tao berkata dalam
hatinya setelah talian dimatikan.
Tao menjenguk
biliknya, melihat Bomi sudah lena dibuai mimpi. Tao mendekati Bomi yang sedang
lena itu, Tao merenung Bomi. Perlahan-lahan tangan Tao mengusap rambutnya yang
masih lembap itu, sayu saja matanya melihat Bomi. Tao menyentuh dahinya pula,
Tao mengeluh apabila mendapati Bomi demam. Tao keluar dari bilik, terus ke
dapur. Membasahkan tuala kecilnya dengan air suam lalu dibawa ke bilik semula.
Tao meletakkan tuala itu di atas dahi Bomi untuk meredakan suhu panas badan
Bomi itu.
Tao terlelap di
sofa dengan TV yang masih menyala. Pada jam 4 pagi Tao bangun. Ketika bangun,
Tao menyentuh dahinya. ‘Aduh...aku pun demam ke?’ Tao mengeluh. Tao mandi air
panas, melegakan tubuhnya yang letih itu. Selesai sahaja, Tao menyentuh dahinya
lagi. Tao mengeluh buat kali kedua apabila dahinya masih panas, Tao terus
baring di sofa. Tao tidak larat untuk berjoging ketika demam. Tao terpandang
pada TV di hadapannya. ‘Bukan ke semalam aku tak tutup TV ni?’ Tiba-tiba pintu
bilik terbuka.
Bomi akan mengigau
seperti biasa, selepas itu tidur di situ. Tao mendukungnya masuk ke dalam bilik
semula, Tao mengusap dahinya. Dahinya sudah tidak panas macam tadi, Tao
menghembus nafas leganya. ‘Baguslah dah reda...tapi aku pulak yang demam.’ Tao
keluar dan baring di sofa. Matanya pedih kerana suhu badannya yang panas itu
semakin menjadi-jadi. Akhirnya, Tao terlelap juga. Ketika itu, Bomi bangun.
Bomi ke tandas. Apabila sudah selesai, Bomi melihat Tao sedang nyenyak tidur di
atas sofa.
Bomi masuk ke dalam
bilik, dia bawa keluar selimutnya. Bomi selimutkan pada Tao. ‘Terima kasih
untuk semalam.’ Bomi tersenyum melihat wajah lena Tao. Bomi cuba beranikan
dirinya untuk menyentuh wajah Tao, senyumannya hilang secara tiba-tiba. ‘Tao
demam ke?’ Bomi bergegas mengambil tuala kecil, diletakkan pada dahinya.
‘Patutlah dia tak pergi bersenam.’ Bomi duduk di atas lantai, menghadap Tao.
Bomi merenung wajah Tao, hatinya berdebar-debar. Bomi terus mengelak perasaan
yang mendebarkan itu. Bomi pergi ke dapur, membuka peti sejuk.
‘Sejak bila lauk ni
ada kat peti sejuk? Semalam...’ Bomi teringat bahawa semalam Tao ingin
membelikannya lauk, tapi dia lari dari rumah pulak. Bomi mengeluh. Tiba-tiba,
telefon Tao berdering. Lama telefon itu berdering, tapi Tao tetap tidak sedar.
Bomi ingin menjawabnya, tapi dia tidak berani. Apabila semakin bising, Bomi
terus mengangkat telefon itu. “Hello...” Bomi teragak-agak ingin bersuara.
“Tao...demam...” Talian terus dimatikan oleh pemanggil. ‘Eh? Dah tutup?’ Bomi
letak telefon Tao di tempat asalnya.
Tak lama kemudian,
seseorang datang ke rumah. Sehun menerjah rumah Tao kerana Sehun mempunyai
kunci rumah itu. Bomi terkejut, Bomi terus mengejutkan Tao yang tengah lena
tidur itu. “Tao! Tao...ada orang pecah masuk rumah awak.” Tao bergegas ke
halaman rumahnya. Tao mengeluh melihat Sehun, Bomi berasa pelik. ‘Kenapa dia
duduk diam aje?’ Secara tiba-tiba, Sehun memeluk Tao. Buntal mata Bomi
melihatnya. “Tak payahlah lebih-lebih! Aku bukannya nak mati pun!”. Tao menolak
Sehun, Bomi hanya melihat dari belakang.
“Tao...kawan awak
ke?”. Bomi bersuara. “Ye. Tak payah keluar! Duduk kat dalam!”. Bomi tidak jadi
hendak ke luar rumah. “Tapi...awak tengah...” Tidak sempat Bomi ingin habiskan
kata-katanya, Tao terus mencelah. “Demam. Tahu. Dahlah masuk!”. Bomi mengeluh.
“Kenapa kau garang sangat dengan dia? Dia prihatin dengan kau tu.” Sehun pula
bersuara. Bomi terus menutup pintu, membiarkan Tao dengan Sehun. ‘Kawan dia
rupanya...’ Bomi mengeluh lagi. Bomi ke dapur, memanaskan lauk semalam. Bomi
makan seorang diri di ruang tamu sambil menonton TV.
Apabila Bomi berasa
bosan, Bomi mula terfikirkan sesuatu. Bomi mengintai Tao dan Sehun dihalaman
rumah melalui tingkap bilik tidur. Bomi melihat Tao dan Sehun begitu rapat dan
mesra, walaupun hanya melihat dari perbualan mereka. “Haha! Kau ni Tao, memang
tak boleh nak simpan rahsia dari aku! Aku dah agak, mesti kau ekori dia sejak
pertama kali kau nampak dia! Aku kenal kaulah! Sebab tu dia boleh ada kat rumah
kau sekarang, kan? Haha!” Terkejut Bomi mendengar kata-kata Sehun itu. ‘Orang
yang dia cakap tu...mesti aku.’ Bomi terduduk di atas katil, tidak menyangka
bahawa semuanya telah dirancang oleh Tao.
Bomi mengemas
barang-barangnya ke dalam beg galasnya, Bomi keluar dari rumah itu. Tao melihat
Bomi keluar tanpa menegurnya, Tao terus berlari ke arah Bomi dan menarik tangan
Bomi. “Awak nak ke mana?” Tao bertanya pada Bomi yang memandangnya dengan
pandangan yang tajam, Bomi berasa marah dan geram pada Tao. “Lepaskan tangan saya!”
Bomi menengking pada Tao. “Kenapa dengan awak ni?” Tao mula berasa pelik dengan
kelakuan Bomi. “Kenapa? Kenapa awak nak tahu? Kenapa awak boleh ada sewaktu
saya dalam kesusahan? Kenapa mesti awak yang ada masa-masa macam tu?” Bomi
menepis tangan Tao.
Tao terkejut
mendengarnya. ‘Bomi dah tahu hal sebenarnya?’ Tao terdiam di situ, hanya
melihat bayangan Bomi yang semakin kabur dimatanya. Sehun terus ke arah Tao.
“Kenapa kau tak halang dia?” Tao mengeluh mendengarnya. “Dia dengar perbualan
kita...” Sehun pula terkejut. “Dia...dengar? Tapi...macam mana dia boleh
dengar? Huh! Takkan sebab suara aku kot...?” Sehun mengetuk dahinya.
“Tak...salah aku...kau tak salah...” Tao masih berasa terkejut kerana Bomi
meninggalkannya begitu sahaja. Sehun melihat wajah sayu Tao, Sehun
menepuk-nepuk bahu Tao untuk meredakan hatinya.
Tao termenung dalam
bilik tidur di atas katil, masih teringatkan kejadian tadi. ‘Bomi dah
tinggalkan aku...sama macam...perempuan sial tu!’ Tao mengeluh. Tao teringatkan
bekas tunangnya yang pernah meninggalkannya dahulu. Situasinya sama seperti
Bomi meninggalkannya tadi. Tambahan pula, Tao melayan mereka berdua dengan baik
sekali. Tapi Tao masih dikecewakan. Tao pernah putus asa selepas banyak kali
dikecewakan dan hampir sahaja membunuh diri. Tapi secara kebetulan Bomi berada
di tempat kejadian, ketika itu Bomi sedang mempromosikan restoran jirannya.
“You
got pretty, words I wanted to hear every day... Words I never heard before...
But everything is different now (Doo Roo Roo Roo)... You got pretty, what you
see isn’t everything... I’m not the same person you knew before... Goodbye my
love...yeah!” Bomi mendendangkan sebuah lagu sambil
memetik gitar untuk menarik perhatian orang ramai. Salah seorang dari orang
ramai itu adalah Tao, dia tidak jadi membunuh diri kerana terdengar suara merdu
Bomi. Sejak hari itu, Tao asyik mengekori Bomi. Tanpa disedarinya, Tao asyik
tersenyum apabila melihat Bomi di restoran itu setiap hari.
Tao tersentap apabila mendengar
bunyi pintu diketuk, hilang terus lamunannya. Tao berjalan ke arah pintu dengan
malasnya, tidak berdaya. Tao terkejut selepas membuka pintu. “Bomi...” Tao
merenung wajah Bomi. “Saya nak ambil barang saya yang tertinggal kat belakang.”
Bomi terus masuk ke dalam. Tapi terhenti kerana Tao menahannya, tangan Bomi
digenggam erat oleh Tao. “Saya...minta maaf sebab saya...mengekori awak selama
ni.” Bomi memandang tangan kanannya yang digenggam erat oleh Tao itu dan
memandang sayu pula pada wajah Tao. Mereka berdua bertentangan mata. Tak lama
kemudian, air mata Bomi mengalir ke pipi.
Tao melepaskan tangan Bomi
perlahan-lahan, tangannya menyentuh pula pada pipi Bomi yang dibasahi air mata
itu lalu mengusap air matanya. “Saya minta maaf.” Suara Tao membuatkan air mata
Bomi mengalir bertambah deras, Bomi menundukkan kepalanya. “Kenapa awak
mengekori saya? Apa yang awak nak pada saya sebenarnya?” Bomi bertanya dan
masih menundukkan kepalanya. “Sebab saya...suka awak, saya nak awak ada di sisi
saya macam saya selalu ada untuk awak selama ni.” Bomi terus memandang wajah
Tao selepas mendengarkan jawapan Tao itu, hilang tangisannya.
Bomi: “Tapi...sejak bila?”
Tao: “Saya ekori awak sejak...awak
menyanyi kat Namsan Tower dua bulan lepas.”
Bomi: “Erm...saya tanya, sejak bila awak suka
saya...bukan sejak bila awak ekori saya.”
Tao: “Oh! Sejak...awak menyanyi kat majlis perkahwinan kawan awak.
Kebetulan suami kawan awak, kawan saya juga.”
Bomi: “Tapi...kenapa awak suka kat saya?”
Tao: “Erm...lembapnya! Masih tak tahu
kenapa saya suka awak dengan dua perkara tu, erm...”
“Yelah! Saya ni lembap! Buat apa
awak suka kat orang yang lembap macam saya ni?!” Bomi ingin beredar dari situ,
tapi dihalang oleh Tao. “Sebab...suara awak merdu. Saya suka gadis yang pandai
menyanyi macam awak...dan sifat periang awak dulu.” Bomi berasa terharu dengan
kata-kata Tao dan sedih apabila mengetahui sifat periangnya dahulu sudah
hilang. “Saya bukan gadis macam awak katakan tu lagi...” Bomi menundukkan
kepalanya lagi. Tao merenung Bomi, perlahan-lahan tangannya menarik tubuh Bomi
ke dalam dakapnya. Bomi menangis lagi setelah Tao memeluknya.
Apabila tangisan Bomi sudah reda,
Bomi melepaskan pelukan Tao perlahan-lahan. Bomi berkata sambil kepalanya
ditundukkan. “Sebenarnya saya...nampak kejujuran di mata awak masa awak cakap,
awak akan sentiasa ada di sisi saya tak kira saya senang mahupun susah.
Saya...dapat percayakan awak selepas saya renung mata awak. Sebab saya...teringatkan
kejadian di warung dulu dan di tepi jalan semasa saya diserang oleh dua orang
lelaki mabuk tu. Saya fikir semua tu kebetulan, tapi sebenarnya...tak. Saya
rasa kecewa dengan awak, marah dan sedih...sebab saya dah mula sukakan awak...”
Bomi memandang wajah Tao.
3 tahun kemudian, Sehun
mengisytiharkan Tao sebagai CEO syarikat pada semua pekerja di syarikat itu.
Tao juga mengisytiharkan Sehun sebagai ketua pengurus di syarikat dan Bomi
sebagai isteri CEO iaitu Tao. Bomi berasa malu apabila dipuji oleh
pekerja-pekerja di situ. Tao pula berasa gembira apabila bapanya mengatakan
bahawa Tao adalah anak kebanggaannya pada Bomi dan bapanya telah menghadiahkan
Bomi sesuatu yang tidak dijangka-jangka olehnya iaitu bapa Bomi. Bapa Bomi
kelihatan sihat dan kemas, bapa Tao berkata bahawa dia telah menghantar bapa
Bomi ke pusat pemulihan akhlak.
Bomi menangis ketika memeluk
bapanya, begitu juga bapanya. “Erm...dah dewasa anak bapak. Pandai dah jaga
diri masa bapak tak ada, sama macam arwah maknya. Pandai berdikari!” Bomi
senyum dalam tangisannya setelah mendengar kata-kata bapanya. “Bapak jangan
tinggalkan Bomi lagi!” Bomi berkata setelah puas menangis. “Eh? Mana
boleh...Bomi kan dah ada suami. Kenalah ikut suami, tak boleh dengan bapak
dah...” bapanya pula yang mengalirkan air mata apabila tersedar dengan
kata-katanya sendiri kerana dia begitu menyesal sudah tinggalkan Bomi. Tao dan
bapanya hanya memerhati Bomi dengan gelagat manjanya apabila bersama bapanya.
Seminggu selepas itu, Tao dan
Bomi pergi bercuti di Pulau Jeju bersama-sama. Pada hari itu pula adalah hari
jadi Tao, Bomi mendapat tahu tarikhnya melalui bapa Tao kerana Tao tidak ingat
tarikh lahirnya sendiri. Pada waktu malam, Bomi mengajak Tao ke persisiran
pantai. Tao terkejut melihat sebuah meja dan kerusi, terdapat juga gitar
berwarna pink di situ. Bomi mendendangkan lagu yang sama iaitu lagu yang
pertama kali Tao menjumpainya, Tao hanya mampu tersenyum. Selepas itu, Bomi
telah mengeluarkan sebuah hadiah untuk Tao. “Happy Birthday!” Tao tertawa kecil
melihat hadiahnya. “Kenapa hadiahkan tie?” Bomi tersenyum, tidak mahu
menjawabnya.
TAMAT
Subscribe to:
Comments (Atom)

